KUALA LUMPUR — CUEPACS menggesa kerajaan memberi cuti umum khas sehari, sebelum hari mengundi pada 18 November ini bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia mempunyai tempoh masa yang cukup pulang ke kampung bagi membuang undi.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia yang mengundi bukan di lokasi mereka bekerja dan tinggal.
Katanya, walaupun tarikh hari mengundi jatuh pada hari Sabtu dan kebanyakan rakyat tidak bekerja pada hari itu tetapi ada dalam kalangan pengundi perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.
“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan yang terhad mungkin menyukarkan mereka untuk pulang pada hari mengundi apatah lagi bagi mereka yang tinggal di pedalaman yang memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS bimbang ada majikan yang tidak membenarkan pekerja memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi, walaupun setiap pekerja mempunyai cuti tahunan dan layak mengambilnya.
Katanya, pemberian cuti umum khas ini sudah pasti boleh mengelakkan perkara sedemikian berlaku.
“Pilihan raya pada lazimnya berlaku lima tahun sekali dan adalah wajar kerajaan memberi cuti umum khas ini bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka.
“Perkara ini tidak menjadi halangan yang berat kerana sebelum ini ia pernah dilakukan apabila kerajaan memberi cuti umum tambahan dua hari selepas hari mengundi pada 2018,” katanya.
Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap semua syarikat penerbangan tidak menaikkan harga tiket pada tarikh sebelum hari mengundi, hari membuang undi dan selepas pilihan raya bagi meringankan beban kewangan rakyat.
“Pilihan raya umum bagi menentukan kerajaan ini berlaku hanya lima tahun sekali dan adalah tidak wajar untuk syarikat penerbangan mengambil kesempatan.
“CUEPACS berharap pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” katanya sambil menyarankan diskaun untuk tambang diberikan semua destinasi penerbangan sama ada di Semenanjung atau di Labuan, Sabah dan Sarawak, lapor BH Online.