Nation
159

PTPTN semak sistem bayaran pinjaman, baiki kelemahan

Kuala Lumpur – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melakukan satu semakan penuh berhubung sistem pembayaran pinjaman badan berkenaan.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini susulan terdapat kes akaun peminjam PTPTN yang didapati masih aktif biarpun pinjaman sudah dilangsaikan untuk tempoh yang lama.

“Ini merupakan satu kelemahan dalam sistem yang perlu dibaiki. Jadi, saya sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif untuk menjalankan siasatan segera.

“Setakat yang saya dimaklumkan, kes tersebut telah diselesaikan tetapi kebimbangan saya ialah jangan jadi (berulang) lagi selepas ini. Oleh itu, saya telah mengarahkan satu semakan sepenuhnya diadakan untuk menghalang kelemahan sama berulang,” katanya.

Wan Saiful ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan terhadap proses vaksinasi kepada orang ramai di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti USCI Kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu tular di media sosial membabitkan seorang peminjam PTPTN yang telah lama melangsaikan bayaran pinjamannya, namun dikatakan masih terdapat baki 1 sen yang belum dilangsaikan.

Akibatnya, peminjam berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang kerana tidak membayar hutang yang meningkat sehingga RM515 meliputi jumlah kadar faedah, caj pentadbiran, kos insurans dan caj tertunggak.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan moratorium bagi pinjaman PTPTN, Wan Saiful berkata, masih terdapat ramai dalam kalangan peminjam yang memutus untuk meneruskan pembayaran bulanan mereka, walaupun ditawarkan kemudahan berkenaan.

“Moratorium ini satu kemudahan yang diberi kerajaan kepada peminjam tetapi kalau sekiranya ada yang merasakan dia nak teruskan bayar, kita tidak menghalang,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data tiga bulan lepas, PTPTN sepatutnya dapat mengutip sekitar RM200 juta setiap bulan namun semasa moratorium dilaksana masih terdapat pembayaran berjumlah antara RM10 juta hingga RM20 juta setiap bulan, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu