Nation
375

Puad tuntut ganti rugi daripada Muhyiddin

Kuala Lumpur – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sudah mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan mengetepikan perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang diperoleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Mohd Puad berkata, beliau juga mengarahkan peguamnya membuat tuntutan balas menuntut ganti rugi daripada Muhyiddin.

“Saya telah membaca beberapa artikel di media sosial berkenaan dengan perintah injunksi (sebelah pihak) yang diperoleh oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya.

“Saya telah mematuhi perintah mahkamah. Saya telah memadamkan pos (hantaran) tersebut pada 04.03.2021.

“Saya juga telah mengarahkan peguam memfailkan permohonan ketepikan perintah injunksi itu serta merta. Saya juga menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin.

“Saya yakin kepada sistem kehakiman negara kita dan akan membela diri di hadapan mahkamah,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah membabitkan Perdana Menteri itu berhubung perintah kuarantin menerusi Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan menyebabkan reputasi serta nama baik Perdana Menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Pada 9 Februari lalu, Mohd Puad dalam hantaran di Facebook, mendakwa Muhyiddin enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu