Kuala Lumpur Post

Social

Pukul isteri di hotel : Lelaki curang mengaku tak bersalah

PORT DICKSON — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson di atas pertuduhan menggunakan kekerasan ke atas isterinya di sebuah hotel, bulan lalu.

Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, membuat pengakuan itu di depan Majistret Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didakwa menggunakan kekerasan terhadap isterinya berusia 38 tahun di sebuah hotel di Port Dickson pada 9.50 pagi 24 Mei lalu, lapor Harian Metro.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa, Nor Asiah Mahmud mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Krishnaveni memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai ini.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memukul isterinya yang dipercayai baru habis berpantang sehingga menyebabkan mangsa cedera di pipi dan sakit di beberapa anggota badan.

Media melaporkan siasatan polis mendapati kejadian itu disyaki berpunca daripada lelaki terbabit curang.