Kuala Lumpur Post

Social

Pusat hiburan dibaling bom petrol

KUALA LUMPUR — Polis menyiasat kejadian sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng yang dibaling bom petrol oleh beberapa individu tidak dikenali pada awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi Nazron Abd Yusof mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, lapor Harian Metro.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Berdasarkan rakaman CCTV itu, kejadian berlaku jam 2.18 pagi (semalam) tetapi masa sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit.

Lelaki itu kemudiannya dilihat membaling dua objek dipercayai bom petrol di hadapan pusat hiburan berkenaan sebelum melarikan diri.

Kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan pusat hiburan berkenaan terbakar dan beberapa orang awam dilihat cuba memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kerosakan dan kerugian yang dialami oleh pusat hiburan berkenaan.