Nation
179

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih kepada pekerja wanita terutama barisan hadapan

Kuala Lumpur – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis adalah benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 dengan menabur khidmat penuh ikhlas, amanah, bersungguh-sungguh dan bersemangat juang.

Susulan itu, baginda berterima kasih di atas kerja keras ditunjukkan petugas barisan hadapan khasnya pekerja wanita di negara ini, dalam menangani penularan pandemik COVID-19.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak COVID-19,” titah baginda sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus COVID-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini selepas kita melalui kesulitan wabak COVID-19, amat tepat masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah, wanita perlu diberi kemudahan menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan golongan itu di negara ini.

Baginda berbangga kepada semua wanita yang memberi sumbangan sukarela ketika musibah COVID-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), badan bukan kerajaan (NGO) wanita banyak memberi sumbangan membanteras wabak COVID-19.

“NCWO pula mengutip derma untuk membekalkan pakaian pelindung diri (PPE) bagi wad COVID-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup muka dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Sementara itu, pada sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus COVID-19 di negara ini.

Katanya, angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka.

“Individu yang meninggal dunia akibat COVID-19 adalah mereka yang mengambil vaksin tidak lengkap dan dua orang sudah meninggal dunia. Ini bukan kerana mereka tidak mahu divaksin, sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu