Politics
351

Rakaman audio : Anwar pengkhianat – Azmin

Gombak- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin audio mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah benar.

Keyakinan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai individu rapat dengan Anwar sebagai bekas Setiausaha Sulit Presiden PKR itu sendiri.

“Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau sekian lama dan merupakan Setiausaha Sulit beliau, yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadan Parlimen Gombak.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) menyifatkan tindakan Anwar itu satu pengkhianatan terbesar kepada rakan komponennya iaitu DAP dan Amanah.

“Ini merupakan pengkhianatan yang terbesar dilakukan Anwar, bukan sahaja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menuntut supaya siasatan dijalankan segera bagi menyiasat ketulenan audio tersebut.

“Saya kira ia memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri mereka.

“Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur kepada sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing,” ujarnya lagi.

Rakaman kira-kira empat minit itu tersebar melibatkan suara mirip Ahmad Zahid dan Anwar berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, akhir bulan lalu.

Dalam rakaman tersebut, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Ahamad Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, suara yang didakwa Ahamd Zahid berkata, apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal.

Bagaimanapun, Ahmadn Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Azmin turut berkata yang kerajaan tidak melanggar perlembagaan berhubung persidangan Parlimen yang masih ditangguhkan.

Katanya, meskipun saranan telah dibuat Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen boleh bersidang, kerajaan berpegang kepada perkara 150 fasal 1 dan 2 iaitu Proklamasi Darurat.

“Apa juga tindakan yang akan diambil oleh kerjaaan adalah tertakluk kepada perlembagaan dan Undang-Undang.

“Apabila kerajaan dan jemaah menteri memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, ia juga merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan perkara 150 fasal 1 dan 2 yang mana kita tak pernah bertindak di luar perlembagaan dan undang-undang.

“Maka apa juga tindakan dan keputusan yang akan diambil, adalah bertepatan dengan Perlembagaan dengan undang-undang negara dan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya. – Utusan Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu