Nation
225

Rakaman CCTV kondominium antara bahan bukti kes pecah amanah Hasanah

Kuala Lumpur – Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat membawa keluar beberapa kotak dari sebuah kondominium di Cyberjaya semasa siasatan kes pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) yang dihadapi bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid.

Ini berdasarkan salah satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada 69 fail rakaman CCTV yang ditayangkan di Mahkamah Tinggi hari ini semasa perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dalam prosiding itu,Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal mengemukakan rakaman CCTV tersebut ketika pemeriksaan utama terhadap saksi pendakwaan kelapan, Pegawai Siasatan di Bahagian Forensik Teknologi Ibu Pejabat SPRM, Badri Azni ,37.,

Rakaman itu menunjukkan beberapa pegawai SPRM membawa keluar kotak-kotak yang disorong menggunakan troli melalui salah sebuah lif di kondominium tersebut pada 30 Ogos 2018.

Bagaimanapun, mahkamah tidak diberitahu mengenai kandungan kotak-kotak berkenaan.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata fail berdurasi 60 minit itu yang dirakam antara 9 Mei 2018 dan 30 Ogos 2018 diperolehi pihak SPRM daripada unit keselamatan kondominium itu ketika siasatan kes dijalankan.

Pada 6 Okt tahun lepas, saksi pendakwaan pertama, Penolong Penguasa SPRM Muhammad Nizhar Kadi memberitahu mahkamah bahawa SPRM telah menjalankan operasi bagi kes itu.

Dalam keterangannya, beliau berkata pada 30 Ogos 2018 pasukannya menggeledah satu unit kondominium di Cyberjaya dan telah menyita wang tunai berjumlah US$4.07 juta.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir bersambung esok. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu