Social
361

Rakan sekerja didakwa bunuh Nik Khatijah

Kajang – Rakan sekerja kepada Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Nik Khatijah Nik Mud didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasbullah Ismail, 57, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain memandangkan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengurus di Ikram didakwa membunuh Nik Khatijah di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini, antara jam 11 malam pada 5 Mac lalu hingga jam 3 pagi pada 6 Mac lalu.

Pertuduhan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin.

Turut hadir pada prosiding itu adalah beberapa peguam pemerhati dari Ikram.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nik Khatijah ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini, pada 9 Mac lalu. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu