Nation
140

Rakyat Malaysia di Yangon nafi dakwaan kedutaan gagal jamin keselamatan

Kuala Lumpur – Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan Kedutaan Malaysia di Yangon menjalankan tugasnya dengan baik dalam menjaga kebajikan lebih 600 rakyat Malaysia di sana.

Dalam hantaran Twitter beliau, Hishammuddin turut berkongsikan respons positif kebanyakan rakyat Malaysia di Yangon yang rata-rata membidas dakwaan segelintir rakan senegara bahawa Kedutaan Malaysia gagal menjamin keselamatan rakyat susulan pergolakan di negara itu.

“Maklum balas adalah positif di sebalik keadaan semasa (di sana). Kepada tiga rakyat Malaysia yang enggan dinamakan, sila hubungi Duta Malaysia (ke Myanmar) Datuk Zahairi (Baharim) dan pasukan beliau akan memberikan bantuan setakat kemampuan mereka,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Hishammuddin turut menyertakan hantaran beberapa rakyat Malaysia yang menyanggah laporan sebuah portal berita dengan berkongsi pengalaman mereka menerima bantuan daripada kedutaan itu.

Seorang daripada mereka memuji kualiti perkhidmatan kedutaan yang disifatkannya sebagai sangat bagus selain sentiasa dimaklumkan dengan perkembangan terkini.

“Ada tiga penerbangan kemanusiaan ke Kuala Lumpur setiap minggu yang bagi saya antara (jumlah penerbangan kemanusiaan) yang tertinggi. Terima kasih kepada duta dan staf beliau yang sangat profesional,” kata seorang lagi rakyat Malaysia.

Perkara sama turut dinyatakan oleh seorang lagi warga Malaysia yang telah bekerja di Myanmar sejak 2018.

“Sesetengah rakan sekerja saya yang juga warga Singapura berkongsi dengan saya tentang sebarang perkembangan yang mereka terima daripada Kedutaan Malaysia kerana mereka turut berhubung dengan kedutaan kita. Duta dan kakitangan kedutaan sentiasa memantau situasi serta menyalurkan maklumat tepat tanpa bertangguh,” kata individu itu.

Kakitangan kedutaan sangat profesional serta sentiasa bersedia membantu, kata seorang lagi.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan beberapa rakyat Malaysia di Myanmar berasa kecewa dengan Kedutaan Malaysia di Yangon yang didakwa mereka gagal menyediakan jaminan keselamatan untuk mereka berikutan pergolakan di negara itu.

Menurut laporan itu, mereka lebih rela meminta bantuan daripada Kedutaan Singapura sekiranya keadaan bertambah buruk. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu