Social
213

Rakyat Malaysia dihukum penjara 15 tahun di Somalia

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia Ahmad Mustakim Abdul Hamid dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.

Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M Osman ketika dihubungi Bernama berkata hukuman itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera, Kolonel Hassan Ali Nur Shuuto.

“Namun mengikut sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk membuat rayuan,” kata Abdimajit.

Semalam Bernama melaporkan perbicaraan Ahmad Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.

Ahmad Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.

“Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.

“Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat.

“Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

Abdimajit menambah, Ahmad Mustakim, 34, merupakan rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.

Sementara itu, Agensi Berita Somali (SONNA) melaporkan mahkamah itu turut menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersama dengan Ahmad Mustakim.

“Ahmad Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas dan mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb,” kata SONNA itu berdasarkan transkrip terjemahan oleh Kedutaan Somalia di Malaysia.

Pada Sabtu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata kerajaan memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Ahmad Mustakim.

Saifuddin berkata pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.

“Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

“Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.

Al-Shabaab merupakan sekutu paling kuat al-Qaeda dan terkenal dengan serangan berprofil tinggi seperti berlaku di Westgate Mall di Nairobi, Kenya pada 2013 serta pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu