Nation
380

Rakyat mesti patuh dan taat kepada kepimpinan baharu : Mufti Kelantan

Kota Bharu – Rakyat di negara ini diseru agar memberi kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata mengikut peraturan Islam, orang Islam mesti berpegang teguh kepada apa-apa yang telah diputuskan terutamanya sekiranya keputusan telah dilaksanakan.

“Masing-masing perlu memberi kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan baharu dan mengikut kaedah pun apabila satu keputusan telah dibuat sekiranya timbul pertikaian kita perlu tunduk kepada majoriti.

“Saya turut berharap kepimpinan baharu Perdana Menteri, dapat memberi dua perkara yang diharapkan oleh rakyat iaitu penyelesaian yang besar mengenai kesihatan dan juga perkembangan ekonomi. Sekiranya kesihatan dan ekonomi kembali pulih maka aktiviti keagamaan pun dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bagi Januari hingga Jun 2021 di sini semalam, ketika diminta memberi ulasan dan pandangan mengenai pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Mohamad Shukri berkata beliau turut menyambut baik hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan negara Malaysia sebagai konsep Keluarga Malaysia.

“Konsep itu sangat positif yang rakyat semua dapat merasa sebagai satu keluarga besar selain sekiranya ada apa-apa permasalahan yang timbul kita dapat selesaikan secara berkeluarga.

“Kita mendoakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberikan kesihatan taufik dan hidayah sekali gus dapat memimpin negara Malaysia dengan baik,” katanya, lapor Bernama.

 

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu