Kuala Lumpur Post

Social

Rambutan ragut nyawa kanak-kanak 9 tahun

KUANTAN — Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat tercekik buah rambutan, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata mangsa Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran sekitar 8 malam.

“Doktor di klinik berkenaan telah mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

“Bedah siasat pada awal pagi tadi mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek,” katanya semasa dihubungi di sini.

Norzamri berkata polis mengklasifikasikan kematian mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Ling Luar, Maran sebagai mati mengejut.

Jenazah mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pada pagi Selasa.

Tags: , ,