Nation
153

Rampasan kuasa tentera di Guinea: Semua rakyat Malaysia selamat

Kuala Lumpur – Semua rakyat Malaysia di Guinea dilaporkan selamat susulan ketidakstabilan politik di negara itu akibat rampasan kuasa tentera, pada Ahad.

Kedutaan Malaysia di Conakry, Guinea, memaklumkan buat masa ini terdapat 12 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, termasuk pegawai kedutaan dan anggota keluarga mereka.

“Sebelas daripada 12 rakyat Malaysia yang berdaftar kini berada di Guinea, sementara seorang telah pulang untuk bercuti di Malaysia dua minggu lalu.

“Semua dilaporkan selamat,” menurut kedutaan menerusi satu kenyataan kepada Bernama.

Pemimpin sebuah unit tentera yang menggulingkan dan menahan Presiden Alpha Condé, Kolonel Mamady Doumbouya, dilaporkan berkata isu “kemiskinan dan endemik rasuah” menjadi antara punca pasukannya bertindak menyingkirkan Condé.

Menerusi televisyen negara, unit tentera itu mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan kerajaan dan parlimen, manakala unit yang lain belum memberikan komen secara terbuka.

Mengulas mengenai keadaan semasa di Guinea, kedutaan memaklumkan keadaan masih tenang dan terkawal, setakat berita ini ditulis.

“Pasukan peralihan dikenali National Rally and Development Committee (CNRD) kini sedang mengadakan mesyuarat dengan menteri kerajaan, dan beberapa ahli politik.

“Setakat ini, tidak ada protes dilaporkan berlaku,” tambahnya.

Ditanya mengenai akses terhadap keperluan asas di Guinea, menurut kedutaan semua rakyat Malaysia mempunyai keperluan asas mencukupi di kediaman masing-masing.

Menurut kenyataan itu lagi pasar raya, bank dan pasar terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan mungkin sehingga Isnin.

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga jalanan dan kedai runcit di kawasan sekitar beroperasi seperti biasa.

Buat masa ini, perjalanan rentas sempadan keluar masuk dari Guinea melalui udara telah disambung semula manakala untuk sempadan darat masih ditutup.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti sebarang perkembangan terkini di akaun Twitter dan Facebook Kedutaan

Guinea, bekas jajahan Perancis, mencapai kemerdekaannya pada 1958. Ia mempunyai penduduk sekitar 13.5 juta orang serta kaya dengan sumber mineral tetapi masih menjadi satu daripada negara termiskin dunia, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu