Nation
117

Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 dibentang di Parlimen

Kuala Lumpur – Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 bertujuan meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang menyaksikan penambahan seksyen baharu berkaitan cuti paterniti.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Menurut naskhah biru, rang undang-undang itu antara lain dipinda bagi mematuhi standard dan amalan sebagaimana dikehendaki Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, Pelan Konsistensi Buruh Malaysia-Amerika Syarikat dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Ia juga untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan terhadap diskriminasi dan buruh paksa serta mengadakan peruntukan bagi faedah bersalin.

Antara pindaan dicadangkan dalam rang undang-undang ini ialah meminda seksyen 99A Akta 265 untuk menaikkan amaun penalti yang dikenakan daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta 265.

Ia juga mencadangkan seksyen baharu iaitu 60FA berkenaan cuti paterniti yang mana menyebut:

(1) Seorang pekerja lelaki yang sudah berkahwin layak mendapat cuti paterniti bergaji dibayar pada kadar gaji biasa untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi setiap anak.

Cuti paterniti di bawah subseksyen (1) dihadkan kepada lima anak tanpa mengira bilangan pasangan.

Bacaan kali kedua rang undang-undang ini akan dibentang pada mesyuarat ini juga, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu