Social
241

Rasuah: Pegawai Imigresen mengaku tak bersalah

Shah Alam – Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan berhubung rasuah berjumlah RM25,000 pada 2017.

Noor Azma Azmin, 39 membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan utama, ibu kepada tiga anak yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred 19 di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, didakwa menerima suapan RM25,000 daripada seorang wanita sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap warga China dan Pakistan yang mungkin dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi pertuduhan pilihan, Noor Azma didakwa dengan jawatan, bahagian dan jumlah suapan sama sebagai balasan membantu melepaskan warga asing berkenaan serta gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Dia didakwa melanggar peruntukan Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bahagian terminal KLIA, Sepang pada 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd ‘Afif Ali memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin berikutan laporan polis terhadap tertuduh pada 21 Mac lalu oleh saksi utama pendakwaan.

Beliau berkata, saksi berkenaan membuat laporan polis selepas berasa terganggu apabila dihubungi tertuduh selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.

“Justeru tiada jaminan wajar ditawarkan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan dengan budi bicara, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin warganegara.

“Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan serta tertuduh dilarang mengganggu atau menghubungi saksi kes,” katanya.

Peguam tertuduh, Norliana Ali Othman bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang lebih rendah kerana tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM10,000.

Beliau berkata, anak guamnya tidak mengetahui wanita yang juga rakannya itu adalah saksi utama kes dan menghubungi untuk bertanya khabar.

“Tertuduh berjanji tidak akan mengganggu saksi kes dan akan memberi kerjasama sehingga kes selesai,” katanya.

Hakim membenarkan Noor Azma dijamin dengan RM30,000 dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Rozilah memaklumkan jaminan akan dibatalkan jika mahkamah menerima tertuduh mencari, menghubungi atau mengunjungi saksi SPRM.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 30 April depan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu