Social
259

Rasuah : Pegawai tadbir MBSA mengaku tak bersalah

Shah Alam – Seorang pegawai tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM36,000.

Azlan Dollah, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, Azlan dituduh menerima wang tunai RM2,000 melalui cek daripada Mohamad Shaharom Alias tanpa sebarang balasan yang diketahui berkaitan tugas rasminya sebagai pegawai tadbir di MBSA, cawangan Kota Kemuning, iaitu berkenaan tender Perkhidmatan Pembersihan Zon Awam di Zon SA25 (A) Seksyen 32, Shah Alam untuk MBSA .

Manakala bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM10,000, RM17,000 dan RM7,000 melalui cek daripada Mohamad Shaharom untuk tujuan yang sama.

Azlan dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Hong Leong Bank di Seksyen 15, Shah Alam, antara 13 Jun 2014 dan 9 Julai 2014.

Keempat-empat pertuduhan itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Ogos depan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu