Social
82

Rasuah polis : Lelaki mengaku tak bersalah

Shah Alam – Seorang pengusaha ayam bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat bersama rakannya, memberi rasuah RM120,000 kepada seorang pegawai polis untuk melepaskan rakannya daripada dikenakan tindakan kerana memiliki dadah jenis syabu.

Mohd Nizam Mohamed Lazim, 36, yang juga juruteknik penyaman udara sambilan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Dia dituduh bersubahat dengan Abd Aziz Abdullah @ Shariff, 38, memberikan wang suapan RM120,000 kepada Penolong Penguasa Mohammad Izzuddin Zulkifly, 38, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Mohammad Izzuddin agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Abd Aziz kerana memiliki dadah jenis syabu yang melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Nizam melakukan perbuatan itu di Petron Persiaran Mahogani, J&H Service Station, Petaling, pada 9 malam, 24 Mei 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dikehendaki melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa Tuan Attina Tuan Kamaluddin manakala Mohd Nizam diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Nabil Ashraff Ridzuan. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu