Nation
344

Rasuah : SPRM temui 3 Ahli Parlimen DAP

Putrajaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertemu dengan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius mengenai dakwaan beberapa Ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah oleh sesetengah pihak untuk menyokong kerajaan PN.

Menurut laporan media, beberapa Ahli Parlimen DAP mendakwa menerima tawaran rasuah berunsur wang dan jawatan menerusi mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali.

Antara yang dilaporkan menerima mesej berkenaan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Utara Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata polis telah menghantar laporan yang diterima daripada setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah melalui dua nombor telefon yang tidak dikenali kepada SPRM.

“Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut,” kata suruhanjaya itu tanpa mendedahkan identiti wakil rakyat berkenaan.

SPRM berkata setakat ini ia tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli parlimen berkenaan.

“Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu