Nation
350

Ratusan rumah di Balik Pulau, Teluk Kumbar, Teluk Bahang dilanda banjir kilat

Balik Pulau – Hujan lebat lebih yang berterusan selama tiga jam menyebabkan ratusan buah rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang ditenggelami air hingga setengah meter berikutan banjir kilat hari ini.

Hujan lebat sejak 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan beberapa jalan raya terutama di Pulau Betong, Balik Pulau tidak boleh dilalui dengan kenderaan ringan kerana air melimpahi jalan dengan arus kuat.

Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Pulau Betong Mohd Tuah Ismail berkata antara kampung yang dilanda banjir ialah Sungai Burung, Kampung Terang, Titi Teras, Taman Seri Indah dan Pulau Betong dengan setiap kampung atau taman membabitkan lebih 20 rumah dan ada kediaman dimasuki air hingga hampir satu meter.

“Selepas menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat, saya terus turun memantau dan setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan namun mereka telah mengambil langkah segera dengan menyelamatkan barangan terutama peralatan elektrik di rumah masing-masing.

“Ada rumah dilanda banjir hingga paras pinggang orang dewasa iaitu kira-kira satu meter dan beberapa jalan raya turut dinaiki air hingga paras lutut dengan arus deras, ia merbahaya kepada kenderaan ringgan seperti motosikal. Saya minta semua orang lebih berhati-hati kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Tuah berkata sehingga 6 petang ini, hujan masih renyai-renyai dan pasukannya masih memantau kawasan terjejas bagi melihat bantuan keperluan yang diperlukan penduduk.

Selain itu, seorang penduduk, Mohd Syukri Razak, 50-an yang tinggal di Pulau Betong berkata, dia dan ahli keluarga lain bertungkus-lumus memindahkan perabot serta barangan elektrik ke tempat lebih tinggi kerana bimbang keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk.

Katanya, air mula naik dan memasuki rumah sekitar 4.30 petang tadi berikutan hujan lebat tanpa henti dan dia bernasib baik kerana sempat memindahkan barangan elektrik ke tingkat atas rumah dua tingkatnya.

“Air mula naik di pekarangan rumah hingga ke paras lutut sebelum masuk ke dalam rumah, walaupun hujan telah mula renyai sejak 6 petang namun banjir tidak menunjukkan surut. Jika keadaan makin teruk kami mungkin pindah ke pusat pemindahan kerana bimbang keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata puluhan rumah di Teluk Kumbar di sini turut dilanda banjir kilat dan pusat pemindahan transit untuk mangsa banjir telah dibuka di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul Teluk Kumbar.

“Saya telah maklumkan kepada penduduk yang rumah mereka dilanda banjir agar berpindah segera kerana banjir kilat agak luar biasa ini menjejaskan sekitar 300 buah keluarga berikutan hujan lebat dan berpanjangan,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi banjir dikawasan terlibat dan akan membantu memindahkan mangsa banjir, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu