Social
16K

Rayuan kanak-kanak mendapatkan kerakyatan Malaysia ditolak

Putrajaya –  Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 4-3, hari ini, menolak rayuan kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, yang bapanya warganegara Malaysia dan ibunya rakyat Filipina, bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kanak-kanak itu dilahirkan di Filipina pada September 2010 dan beberapa bulan kemudian, dia bersama ibu bapanya ke Malaysia sebelum pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia pada Februari 2011.

Presiden Mahkamah Rayuan itu berkata, pengesahan kanak-kanak berkenaan selepas kelahirannya menghalangnya daripada menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa kewarganegaraan berdasarkan undang-undang harus ditentukan pada saat kelahirannya, bukan selepas itu,” katanya.

Kanak-kanak berkenaan, yang identitinya dirahsiakan, memohon mendapatkan kewarganegaraan Malaysia berdasarkan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang atau bagaimana seseorang secara automatik menjadi warganegara jika syarat di bawah Persekutuan Jadual Kedua Perlembagaan dipenuhi.

Keputusan majoriti yang menolak rayuan kanak-kanak itu adalah oleh Rohana dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim manakala Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebaliknya.

Bapa kanak-kanak itu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anaknya namun ditolak tanpa sebarang alasan yang sah pada 2012.

Kemudian melalui bapanya, dia memfailkan saman pemula memohon perisytiharan bahawa dia adalah warganegara Malaysia dan perintah mendesak Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran dan kad pengenalan Malaysia kepadanya.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula itu selepas memutuskan bahawa kanak-kanak itu tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia kerana ibunya bukan warganegara Persekutuan Malaysia ketika dia dilahirkan.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Feb 2019.

Kanak-kanak itu yang diwakili sepasukan peguam yang diketuai Datuk Dr Cyrus Das, memperoleh kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 15 Oktober 2019 bagi membolehkan empat isu perundangan dalam kes itu diputuskan.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata, Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah, adalah mengikut kewarganegaraan ibunya yang dianggap diperolehnya kerana menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh Kerajaan Filipina semasa melakukan perjalanan.

Dalam keputusan yang membenarkan rayuan kanak-kanak itu, Tengku Maimun berkata, kanak-kanak itu memenuhi semua syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kerana tidak ada pertikaian mengenai bapa kandung anak itu.

Beliau berkata, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung anak itu, sambil menambah bahawa sama ada seseorang itu tidak sah atau tidak adalah fakta yang tidak relevan untuk menentukan hak mereka untuk kewarganegaraan dengan syarat bahawa identiti bapa kandung mereka diketahui.

Nallini dan Lim juga menyampaikan penghakiman berasingan dalam menyokong penghakiman Tengku Maimun itu.

“Untuk menghalang anak yang secara tidak sengaja waktu kelahirannya, dan status perkahwinan ibu bapanya, daripada kewarganegaraan, yang kedua-duanya tidak boleh dikawalnya, adalah membuatnya menderita akibat tindakan ibu bapanya. Adakah itu tujuan dan maksud peruntukan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan?” katanya.

Sementara itu, Lim dalam keputusannya berkata beliau berpendapat bahawa hakikat bapa kanak-kanak itu tidak menikahi ibunya pada saat kelahirannya tidak menghilangkan haknya untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Responden diwakili sepasukan peguam kanan persekutuan yang diketuai oleh Shamsul Bolhassan. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu