Social
187

Rayuan kerajaan ditolak isu kerakyatan bayi baharu lahir

Putrajaya – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan kerajaan bagi membatalkan saman pemula satu kumpulan hak asasi manusia dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing berhubung kerakyatan automatik kepada bayi mereka yang lahir di luar negara.

Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati saman pemula itu tidak remeh seperti yang dinyatakan kerajaan dan melibatkan isu penting menjurus kepada tafsiran Perkara 8 dan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, rayuan ini ditolak tanpa kos,” kata Azizah yang bersidang bersama dengan Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya dalam prosiding yang dikendalikan melalui Zoom.

Perkara 8 menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang manakala Perkara 14 adalah berkaitan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.

Kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas yang menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman itu.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Tarikh pendengaran saman itu telah ditetapkan pada 24 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir.

Pada 27 April lepas, kerajaan melalui AGC telah memohon untuk membatalkan saman itu atas beberapa alasan termasuk ia adalah satu skandal, remeh dan menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Saman itu telah difailkan pada 18 Dis tahun lepas oleh Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita warga Malaysia.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu