Nation
132

Rayuan Najib berhubung penolakan untuk gugurkan Sri Ram 8 Sept

Putrajaya – Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri itu, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 8 Sept ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika dihubungi berkata tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Nadia Mohd Kamal semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini yang turut disertai peguam Nur Syahirah Hanapiah, mewakili Najib.

“Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing pada 24 Ogos ini,” kata Mohamad Mustaffa.

Pada 15 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes laporan audit itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membuat keputusan itu berkata dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya tidak mempunyai merit.

Mohamed Zaini berkata dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa terdapat komunikasi antara bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Sri Ram sebagai bukti sikap berat sebelah Sri Ram terhadapnya adalah tidak berasas.

Najib, 67, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, sedang dibicarakan atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan agar pindaan dibuat ke atas laporan akhir 1MDB sebelum ia dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib untuk melakukan pindaan tersebut dalam usaha melindungi Najib daripada diambil tindakan. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu