Nation
627

Remaja 14 tahun meninggal dunia selepas divaksin ada Ketumbuhan di ovari

Johor Bahru – Laporan bedah siasat terhadap seorang remaja berusia 14 tahun yang meninggal dunia pada 8 Okt lepas, setelah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 mendapati remaja berkenaan mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berkata sampel tisu dalam badan Allahyarhamah Noor Hayati Nabila Abdullah telah dihantar ke Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Sultanah Aminah di sini untuk pemeriksaan lanjut.

“Keputusan pemeriksaan lanjut itu dijangka diperoleh antara 24 Okt hingga 28 Okt ini. Pelbagai ujian darah telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan.

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan uji kaji masih belum diterima. Laporan bedah siasat yang lengkap adalah perlu bagi mendapatkan sebab kematian Allahyarhamah. JKNJ mengambil perhatian di atas perkara yang telah tular,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Aman berkata pada 3 Okt lepas, Noor Hayati Nabila telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 berjenama Comirnaty Pfizer dan status kesihatannya ketika pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas selain boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Beliau berkata Noor Hayati Nabila dibawa Pegawai Penyiasat Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat pada 8 Okt lepas atas sebab kematian mengejut setelah ditemukan meninggal dunia oleh ibunya di ruang tamu rumah.

“Hospital telah menerima permohonan bedah siasat daripada pihak polis daerah Batu Pahat. Temu bual lanjut oleh Pegawai Perubatan HSNI bersama waris mendapati Allahyarhamah tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi hantaran di laman Facebooknya mendakwa Noor Hayati Nabila meninggal dunia selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

Dalam hantaran itu, Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat turut meminta Kementerian Kesihatan mengeluarkan keputusan bedah siasat dengan telus dan segera, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu