Social
147

Remaja 16 tahun ditahan edar dadah

Rantau Panjang – Polis menahan dua individu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun kerana disyaki memiliki pil kuda dan air ketum dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) turut menahan seorang lagi suspek berusia 28 tahun, selain merampas 70 biji pil kuda dan empat botol air ketum dengan nilai keseluruhan kira-kira RM740.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika serbuan, kedua-dua suspek berada di dapur dan terdapat air ketum yang diletakkan di lantai.

“Pemeriksaan oleh anggota menemui pil kuda yang diisi di dalam tiub plastik berwarna merah jambu di bawah sebuah rumah berdekatan kediaman yang diserbu.

“Kedua-dua suspek ditahan dan barang dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhari berkata, dadah dan air ketum yang dirampas disyaki untuk tujuan pengedaran untuk penagih sekitar kampung berkenaan.

Beliau berkata, tangkapan remaja 16 tahun itu antara yang termuda pernah ditahan polis membabitkan penyalahgunaan dadah dan itu satu kes serius.

“Kawasan sempadan menjadi tumpuan kes penyeludupan dadah yang menjadi faktor pendedahan anak remaja dengan najis dadah ini.

“Ibu bapa sewajarnya memainkan peranan dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan kancah dadah,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu