Social
144

Remaja ditahan bersama 2.11 kg dadah

Tuaran – Polis menahan seorang remaja lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 2.11 kilogram di kawasan perumahan Taman Telipok Ria di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata suspek warga tempatan berusia 19 tahun itu ditahan dalam satu serbuan susulan maklumat awam berhubung pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya dalam serbuan itu polis merampas bungkusan plastik yang mengandungi bahan kristal disyaki dadah syabu dianggarkan bernilai RM89,824 dan sebuah kereta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.

“Kami percaya remaja itu bukan dalangnya, mungkin dia digunakan sindiket dadah bagi mempengaruhi remaja seusianya di kawasan berkenaan. Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mencari individu lain yang mungkin terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di sini hari ini.

Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, dan menurutnya ujian saringan air kencing mendapati remaja itu positif syabu serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Sementara itu Mohd Hamizi berkata kawasan Taman Telipok Ria yang merupakan projek penempatan semula penduduk dari pulau dan setinggan, sering dibelenggu masalah penyalahgunaan dadah dan polis berusaha keras untuk memutuskan rantaian pengedaran dadah di kawasan itu.

“Kami telah berbincang dan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk membersihkan Taman Telipok Ria supaya penduduk di kawasan itu merasa selamat,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu