Nation
303

Remaja kelahiran P. Pinang finalis Miss Teen Universe 2021

Bukit Mertajam – Remaja kelahiran Pulau Pinang yang sedang mengikuti pengajian Diploma dalam Perniagaan di INTI College Penang, berhasrat mempromosi kepelbagaian budaya di Malaysia apabila beliau mewakili negara sebagai finalis pertandingan Miss Teen Universe 2021.

Dheper Reshaa Teh, 19, berkata beliau menyasarkan untuk mengetengahkan keindahan Malaysia dan membanggakan negara apabila berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 25 Okt ini dan bersaing dalam pertandingan itu pada 6 Nov.

“Saya berharap bahawa pengalaman menyertai pertandingan sejak empat tahun lepas akan membawa kejayaan kepada saya untuk dinobatkan sebagai Miss Teen Universe tahun ini. Mereka yang ingin menyokong saya mewakili Malaysia boleh mengunjungi Instagram Miss Teen Universe (@missteenuniversepageants) dan mengundi saya,” katanya kepada Bernama.

Menyingkap pengalamannya, Dheper berkata beliau mula menunjukkan minat dalam pertandingan sedemikian dan memendam hasrat untuk bergelar Miss Universe pada usia seawal empat tahun lagi, dan cita-citanya terus berkembang, bermula dengan mempelajari gaya pergerakan catwalk di rumah, sehingga mengikuti akademi modelling di Pulau Pinang.

Beliau mula mengungguli pertandingan ratu cantik buat kali pertama apabila dinobatkan sebagai Miss Teen International Malaysia 2018/2019 dan sejak itu beliau berusaha untuk bersaing dalam dua pertandingan peringkat antarabangsa, iaitu Miss Teen Universe 2019 di New Delhi, India, serta Miss Tourism Global City, di Guangdong, China tahun ini.

Usahanya membuahkan hasil apabila terpilih sebagai finalis bagi Miss Teen Universe 2019 dan ditempatkan di ranking Terbaik 20 dalam Miss Tourism Global City.

“Pertandingan di peringkat antarabangsa amat jauh berbeza daripada pertandingan peringkat kebangsaan. Terdapat banyak aspek yang tidak saya ketahui seperti isu mengenai perkauman, politik dan banyak kejutan budaya… sedangkan saya masih muda dan naif,” katanya, namun menambah bahawa kebanyakan rakan peserta yang ditemuinya sangat mengambil berat dan banyak menjaganya semasa mengikuti pertandingan.

Katanya beliau berharap akan dapat menggunakan pengalamannya dalam pertandingan sedemikian di peringkat antarabangsa, dan mewakili Malaysia untuk bertanding bagi merebut gelaran Miss Universe di masa hadapan.

“Impian saya adalah untuk dinobatkan sebagai Miss Universe satu hari nanti, dan melihat gambar-gambar saya terpampang di majalah hebat seperti Vogue dan juga papan iklan,” tambahnya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu