Social
172
0

Remaja lemas ketika bantu mangsa banjir

Kuala Krai – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan menghantar mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian di Kampung Manjor, dekat sini, malam tadi.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempat dia dilaporkan terjatuh dari perahu jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang untuk ke PPS berdekatan.

Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam dan seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan pada jam 12.31 pagi tadi berikutan keadaan gelap selain hujan dan air mula menaiki beberapa kawasan rendah.

“Bagaimanapun ketika pihak kami bersiap untuk menyambung operasi SAR mangsa pada pagi ini namun dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di BBP Kuala Krai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu