Kuala Lumpur Post

Social

Remaja perempuan menyamar petugas hospital direman 2 hari

SEPANG — Seorang remaja perempuan yang disyaki menyamar kakitangan sebuah hospital di Serdang direman dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan polis.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Sepang, lapor Harian Metro.

Tahanan reman ke atas remaja itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Semalam, Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Wan Azran berkata remaja itu ditahan selepas disyaki menyamar kakitangan hospital dan turut menawarkan dirinya untuk membantu menjalankan satu pembedahan.

Katanya, polis menerima laporan kejadian daripada pihak hospital selepas mengesan kehadiran suspek berusia 14 tahun itu.

“Pihak hospital telah mengenal pasti kehadirannya iaitu individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu. Mereka terus menghubungi polis dan tangkapan dilakukan pagi tadi.

Suspek ditahan di lobi hospital dan turut dirampas ialah baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan, katanya dalam kenyataan.