Social
158

Remaja wanita mengaku salah cederakan, rosakkan motosikal anggota polis

Bangi – Seorang remaja wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas dua pertuduhan bersubahat dengan teman lelakinya mencederakan dan merosakkan motosikal milik seorang anggota polis, bulan lepas.

Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Umiezatul Asyikin didakwa bersubahat dengan Muhammad Asraf Zulkefli, 19, menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Amirul Yahya seorang penjawat awam yang menjalankan kewajipan, di tempat letak kenderaan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi pada 10.30 malam, 9 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa bersubahat dengan Muhammad Asraf melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan hendal, ekzos, “sport rim” dan nombor pendaftaran belakang motosikal Mohamad Amirul sehingga kerugian RM1,060 di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan kedua itu adalah menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pada 12 Mac lepas, Umiezatul Asyikin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu sementara Muhammad Asraf mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan motosikal milik anggota polis berkenaan.

Pegawai Pendakwa ASP Mohd Mazuri Mohd Nazir memohon tarikh sebutan baharu bagi menunggu laporan perubatan berhubung kecederaan dialami mangsa di dalam kes ini, Mohamad Amirul serta laporan akhlak kedua-dua remaja itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mereka berusia di bawah 21 tahun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Mei ini untuk tarikh jatuh hukum pasangan berkenaan. Mereka diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

Sebelum ini, tular di media sosial video rakaman orang awam menunjukkan detik cemas apabila seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter setelah pemandu kereta bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan dalam kejadian di Bandar Baru Bangi. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu