Nation
129

RFID: PLUS kenal pasti penambahbaikan untuk elak kesesakan di plaza tol

Kuala Lumpur – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan sebagai respons kepada kesesakan yang berlaku di plaza tol semasa pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor pada 15 Jan lepas.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah meluahkan kebimbangan berikutan rungutan orang ramai berhubung pelaksanaan awal projek rintis RFID dan penutupan lorong SmartTAG di plaza tol tertentu.

Susulan itu, PLUS komited untuk membuka semula lorong SmartTAG, meningkatkan prestasi sistem dan menempatkan petugas di plaza tol sebagai langkah menambah baik pengalaman pengguna lebuh rayanya.

“Kami akan membuka semula 16 plaza tol dengan 19 lorong Touch ‘n Go sebagai lorong SmartTAG menjelang 25 Jan sebagai persediaan menghadapi perjalanan balik kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Sebanyak 18 plaza tol lagi akan turut berbuat demikian selepas perayaan itu sehingga 19 Feb,” menurut kenyataan itu.

Menurut PLUS, halangan bagi lorong bertindih yang lebih pantas akan ditempatkan di plaza tol yang sesak bagi memastikan lalu lintas dapat diurus dan disuraikan dengan cepat.

“Selain itu, zon pengesanan visual RFID akan dicat pada lorong terbabit bagi membantu pengguna memposisikan kenderaan mereka bagi pengesanan optimum.

“PLUS juga telah menugaskan pembantu perkhidmatan pelanggan di kesemua 158 lorong RFID di 74 plaza tol bagi membantu pengguna yang terperangkap dengan peranti pengesan mudah alih,” menurut kenyataan itu.

RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go di kebanyakan rangkaian tol lebuh raya sejak 2018 untuk memberi perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pelanggan sedia ada.

Pada 15 Jan lepas, PLUS memperkenal pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh rayanya sebagai tambahan kepada pilihan pembayaran tol kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu