Kuala Lumpur Post

Social

RJ Nagarajan stabil, dirawat di hospital

KUALA LUMPUR — Pendaki Malaysia, RJ Nagarajan yang berjaya menakluki Gunung Everest pada 22 Mei lalu, dilapor dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

Pejabat Pro Naib Canselor UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, disambut pasukan perubatan HCTM dan dipindahkan terus ke hospital menggunakan ambulans.

“Nagarajan selamat tiba di Malaysia pada jam 6.30 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines diiringi pengasas ZeroTo8000, Mohd Khafiz Bachok.

“Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) mendoakan beliau kembali sihat seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Nagarajan yang berjaya menakluk puncak Everest, 22 Mei lalu diselamatkan beberapa malim gunung selepas mengalami simptom buta salji ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu menuju ke kem empat Everest, lapor BH Online.

Simptom yang terjadi kesan pantulan pancaran sinar matahari ke atas salji itu menyukarkan penglihatan dan membataskan pergerakan turun Nagarajan, 59, selepas menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter menerusi misi program ZeroTo8000.