Nation
224

RM11.4 bilion diperuntuk bagi agenda pemerksaan Bumiputera

Kuala Lumpur – Agenda pemerkasaan bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini dengan sejumlah RM11.4 bilion disediakan untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan bumiputera.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan anak-anak bumiputera antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju.

“Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata RM4.8 bilion pula adalah untuk melaksana pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor bumiputera tempatan, Tengku Zafrul berkata potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun hingga 31 Dis 2025.

Tengku Zafrul berkata RM200 juta pula disediakan bagi menggalakkan penyertaan belia bumiputera dalam melaksakan projek-projek berskala kecil perolehan kerajaan.

“Sebagai tambahan, kerajaan melalui CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) akan mewujudkan accelerator programme khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan Bajet 2022 dengan secara keseluruhan RM1.5 bilion diperuntuk bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya di bawah payung pendidikan Islam, kerajaan akan melaksana inisiatif termasuk membina Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM65 juta.,

Selain itu meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 guru Takmir dan menyalur pemberian khas sekali bayar RM500 untuk manfaat 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru KAFA.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan menyalurkan dana permulaan RM10 juta bagi inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana bagi memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan untuk pembangunan ekonomi ummah.

“Syarikat-syarikat korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka ke dalam tabung ini,” katanya, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu