Social
318

RM180 upah untuk pelakon video iklan judi Raya

Kuala Lumpur – RM180 sebagai upah. Itulah harga bayaran yang diterima setiap pelakon yang terlibat dalam pembikinan sebuah video iklan raya yang mempromosikan judi dalam talian (online) yang tular, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada individu (pelakon) yang ditahan semalam, mereka memaklumkan memperoleh upah dalam kadar berkenaan.

“Semakan mendapati kesemua pelakon dalam video tersebut dibayar RM180 seorang.

“Melihat kepada kedua-dua video yang tular, individu yang bertindak sebagai pelakon merupakan individu yang berbeza, namun kita percaya mereka saling mengenali antara satu sama lain,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah seramai sembilan orang, lapan orang ditahan semalam manakala seorang lagi berjaya diberkas hari ini.

“Lapan individu, terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita yang merupakan produser/pengarah video, pelakon, ejen artis, juru video atau kamera berjaya diberkas semalam.

“Bagaimanapun, enam daripadanya yang merupakan lima pelakon dan produser video dibebaskan selepas permohonan polis untuk menahan reman mereka ditolak hari ini oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambahnya, dua lagi individu yang ditahan diteruskan reman bermula hari ini hingga Rabu depan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu