Nation
223

RM42 juta macam ‘kacang Je’ bagi Najib : Sithambaram

Putrajaya – Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang digunakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak macam ‘kacang je’ bagi bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram berhujah (penggunaan) wang sebanyak RM42 juta itu macam ‘kacang jer’ (mudah diperoleh) bagi perayu (Najib) yang sebelum itu mengambil RM2.6 bilion sumbangan.

“Dalam kes ini, Najib mempunyai kawalan penuh ke atas syarikat (SRC) dan apabila beliau memerlukan wang, beliau mengambilnya. Yang Arif, sebelum itu, beliau telah mengambil RM2.6 bilion, ini hanyalah ‘kacang jer’ baginya,” kata Sithambaram dengan suara yang tinggi.

Tahun lalu, Najib memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang beliau menerima RM2.6 bilion sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi antara 2011 dan 2014.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan itu bersambung. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu