Nation
350

Rosmah gagal gugurkan Sri Ram & batalkan perbicaraan kes rasuah

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion yang dihadapinya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusan ringkas berkata kebenaran yang diberikan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kapasitinya sebagai Pendakwa Raya.

“Thomas telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau, selepas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudiannya memberi kuasa kepada beliau untuk menjalankan pendakwaan kes jenayah terhadap pemohon (Rosmah).

“Adalah diketahui umum bahawa Sri Ram telah menjalankan pendakwaan terhadap pemohon dari awal di Mahkamah Tinggi dan beliau (mengendalikan kes itu) bersama pasukan pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara. Ia menafikan kepercayaan bahawa Sri Ram boleh berbuat demikian tanpa pengetahuan dan kebenaran Thomas sebagai AG ketika itu dan juga AG sekarang,” kata Hakim Mohamed Zaini.

Hakim itu menambah beliau tegas mengatakan kebenaran itu tidak perlu dibuktikan secara bertulis, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu