Nation
461

Rosmah menangis ketika beri keterangan

Kuala Lumpur –  Datin Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan menangis di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ketika memberi keterangan dan menyifatkan pendakwaan atas pertuduhan rasuah adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap dirinya dan keluarga.

Rosmah, 69, yang memakai baju kurung hijau dan selendang sepadan, sebak ketika membacakan pernyataan saksinya pada dua halaman terakhir pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata, pihak pendakwaan telah menutup kedua-dua belah mata apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed serta Datuk Seri Alias Ahmad juga KSU KPM yang menggantikan Madinah.

Ketiga-tiga mereka adalah saksi pendakwaan (SP) dalam perbicaraan kes itu.

“Biarpun Mahdzir, Madinah, Alias, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin (SP17) dan Datuk Rizal Mansor (SP21) sepatutnya diambil tindakan di atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, namun pihak pendakwaan lebih suka untuk memanggil mereka sebagai saksi di mahkamah sebagai saksi pendakwaan tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka.

“… agar mereka bersama-sama menunding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tidak ada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekalipun, demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum.

“Ini adalah perbuatan (pendakwaan) zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (berniat jahat dan pendakwaan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil menangis.

Sejurus selepas itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanya kepada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu: “Are you ok?” (Anda okey?)

Rosmah, yang memberi keterangan dari tempat saksi menjawab: “Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara,”

Beliau juga dilihat mengesat air matanya sebelum meneruskan keterangan dan pihak media yang mengikuti prosiding itu menerusi video link turut terdiam seketika melihat situasi berkenaan.

Hakikat yang sebenar, katanya adalah pihak pendakwaan tahu bahawa kesemua pertuduhan ke atasnya adalah tidak berasas ditambah pula dengan kesediaan Rizal yang bersekongkol dengan pendakwaan untuk memberikan keterangan palsu di mahkamah bagi membolehkan pertuduhan ke atasnya ditarik balik dan menjadi saksi penting pihak pendakwaan.

Rosmah juga berkata, beliau tidak pernah menerima wang berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada syarikat berkenaan, kononnya dihantar kepadanya di dua lokasi berbeza di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana.

Katanya, dakwaan Rizal bahawa wang RM6.5 juta itu yang diletakkan dalam empat beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Disember 2016 dan rumahnya di Langgak Duta pada 7 September 2017, adalah pembohongan semata-mata, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu