Social
105

Rumah dijadikan pusat operasi judi dalam talian terbongkar

Kuala Lumpur – Taktik satu sindiket perjudian dalam talian menjadikan sebuah rumah di Taman Orkid Desa, Cheras di sini sebagai pusat operasi panggilan aktiviti itu terbongkar apabila diserbu malam tadi.

Menerusi serbuan Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur itu, 18 individu, terdiri daripada 10 warga China masing-masing lima lelaki dan wanita serta lapan lelaki tempatan, berumur lingkungan 18 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 11.45 malam itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata pusat berkenaan didapati telah beroperasi kira-kira tiga bulan lepas dan mengaut keuntungan sehingga RM100,000 sehari.

“Sindiket ini dipercayai mempromosi judi dalam talian kepada warga tempatan di premis yang disewa pada harga RM25,000 sebulan,” menurut kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata setiap pekerja didapati menerima upah antara RM5,000 hingga RM 7,000 sebulan manakala penjaga premis menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan.

Dalam serbuan terbabit polis turut merampas 27 komputer riba, 109 telefon bimbit dan beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut, selain wang tunai RM54,000 dan wang tunai RMB386. Anggaran nilaian rampasan adalah sebanyak RM 300,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu