Kuala Lumpur Post

Social

Rumah kebajikan warga emas dipukul tidak berdaftar

KUCHING — Rumah kebajikan dihuni warga emas yang dipukul dengan kayu di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kedah, baru-baru ini didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata hal itu dibongkar selepas siasatan dilakukan JKM serta polis terhadap rumah kebajikan swasta itu.

“Apa yang kita akan lakukan selepas ini adalah apabila selesai siasatan daripada pihak polis kita akan tutup rumah kebajikan tersebut.

“Saya ingin mengingatkan kepada mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab menjalankan tugas menjaga warga emas supaya menjalankan tugas dengan baik. Kita perlu ingat satu hari nanti kita juga akan berada di situasi itu (akan tua) dan kita memerlukan orang melindungi kita,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Daerah Kuching.

Khamis lalu polis menahan pemilik rumah kebajikan itu, seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu.

Sebelum itu, rakaman video yang memaparkan insiden berkenaan tular di media sosial.