Social
204

Rumah terbakar sebelum majlis pertunangan

Batu Pahat – Sebuah rumah musnah terbakar kira-kira sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong dekat sini, hari ini.

Kebakaran dikatakan berlaku kira-kira jam 1.20 petang mengakibatkan barang hantaran pertunangan dan harta benda rumah terbabit musnah.

Ketika kejadian, kira-kira 100 ahli keluarga mangsa berada di rumah berkenaan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi awal kejadian, yang juga jurugambar bagi merakamkan majlis pertunangan itu, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata majlis pertunangan itu dijangka berlangsung pada jam 2.30 petang.

“Saya tiba awal di rumah berkenaan. Kira-kira jam 1.20 petang, saya lihat api mulai marak dan merebak dengan pantas ke seluruh rumah.

“Kebetulan saya hadir ke rumah berkenaan sebagai jurugambar majlis pertunangan dan saya lihat sendiri api marak membakar rumah berkenaan begitu cepat.

“Keadaan ketika itu agak kelam-kabut kerana ahli keluarga tidak sempat menyelamatkan barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen penting.

“Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana mahu menyelamatkan kereta berhampiran serta ada yang cedera terpijak kaca,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dipercayai kebakaran itu berlaku akibat litar pintas di bahagian dalam rumah dan keadaan rumah yang separa batu dan kayu menyebabkan rumah berkenaan cepat terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kebakaran hampir 80 peratus berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal dan sebuah motosikal turut musnah dijilat api.

“Seramai 22 orang anggota bomba, tiga jentera FRT dan satu jentera EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penggaram dan Yong Peng dihantar ke tempat kejadian.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan serta operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.34 petang,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa enggan ditemubual kerana terlalu sedih dan trauma dengan kejadian itu. Mereka kini menumpang berteduh di rumah jiran.

Ahli keluarga terdekat yang enggan namanya didedahkan mengesahkan majlis pertunangan itu turut ditangguhkan tetapi belum ditentukan bila.

Rombongan keluarga pihak lelaki yang dimaklumkan mengenai kejadian itu turut tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian dan memujuk serta menenangkan keluarga pihak perempuan.

Rumah keluarga sebelah lelaki terbabit dikatakan berada tidak jauh daripada kampung berkenaan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu