Social
168

‘Runner’ JPJ mengaku tak bersalah

Butterworth – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM9,500 pada 2017.

Mohammad Khairie Marzuki, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid.

Tertuduh didakwa menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan kononnya seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenali tertuduh boleh mengeluarkan lesen memandu kepada ketiga-tiga individu itu tanpa perlu melalui ujian memandu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Khairie yang bekerja sendiri sebagai ‘runner’ JPJ, didakwa menerima wang tunai RM3,500 daripada Noor Amira Nordin dan Mohd Syazwan Shafihi, masing-masing sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas B2 dan D di kawasan parkir di hadapan dan belakang bangunan Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas pada 2017.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohammad Khairie didakwa menerima wang tunai RM2,500 daripada Mohamad Zulhilmi Din Selamat sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas D di sebuah pangsapuri di Jalan Rumbia, Bayan Lepas, pada tahun yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Pulau Pinang dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, Mohamad Azlan Basri dan Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaki Shah, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu