Kuala Lumpur Post

Politics

Saingan satu lawan satu di PRK Sungai Bakap

NIBONG TEBAL — Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Khairulnizam memaklumkan Joohari, 60, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.03 pagi diikuti Abidin, 56, pada 9.06 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Terdahulu, Joohari tiba di pusat penamaan calon diiringi penyokong serta beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir memberi sokongan kepada Joohari ialah Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk R. Ramanan, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar, pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Abidin pula diiringi Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Hadir sama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PRK Dun Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.