Social
386

Sajat di luar negara?

Nilai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Muhammad Sajjad berada di luar negara, namun pemantauan sedang dilakukan.

“Ada laporan mengatakan dia (Muhammad Sajjad) berada di luar negara, polis masih terus memantau.

“Kes ini sebenarnya di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, namun kes ini juga masih dalam tindakan kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini.

Muhammad Sajjad,36, mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam, selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Dalam entri terbarunya pula, Muhammad Sajjad menafikan dirinya bersembunyi seperti dilaporkan sebelum ini, malah turut mengesahkan dia masih kekal dengan agama Islam.

“Buat apa nak jadi pelarian, masa bila saya menyorok…saya bukan menyorok tetapi hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram.

“Pihak polis tidak mencari saya kerana mereka mempunyai urusan yang lebih penting berbanding saya,” katanya dalam rakaman yang tidak mendedahkan wajahnya itu.

Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu