Nation
150

Saksi sahkan terima kenyataan media Muhammad Shafee berhubung wang RM9.5 juta

Kuala Lumpur – Saksi ketiga yang juga merupakan seorang wartawan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat satu kenyataan media tiga tahun lalu berhubung wang RM9.5 juta membabitkan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Lim Lee Ting, 32, yang merupakan Wartawan Kanan dari agensi berita Malay Mail berkata, kenyataan media iaitu ‘Press Statement of Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah Pertaining to the RM9.5 milion’ itu diterimanya pada 8 September 2018 dalam format PDF daripada seorang peguam Muhammad Farhan yang merupakan anak kepada Muhammad Shafee.

“Saya telah terima kenyataan media itu dalam format PDF melalui aplikasi Whatsapps. Kenyataan media itu diletak nama penulisnya sebagai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 8 September 2018. Saya kemudian telah menghantar PDF tersebut kepada pengarang kerana mengetahui bahawa Muhammad Farhan adalah sumber kredible sebagai anak Tan Sri Muhammad Shafee,” katanya.

Lee Ting mengatakan demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Katanya, daripada kenyataan media yang diberi, sebanyak empat laporan berita kemudian telah diterbitkan yang kemudian kesemuanya dimuat naik dalam portal berita Malay Mail pada hari yang sama.

Tambahnya, kesemua laporan berita itu antaranya menyatakan bahawa Muhammad Shafee mendakwa beliau telah menerima sebanyak RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“RM9.5 juta itu bukan sebagai bayaran untuk kes pendakwaan (kes liwat II) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendakwa bayaran tersebut adalah untuk fee (yuran) guaman berkaitan 46 ‘election petition’ yang melibatkan parti politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO bagi tahun 2004 dan 2006,” katanya lagi.

Mengulas lanjut dalam kenyataan itu, Lee Ting turut menjelaskan dia kemudian telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum satu perjumpaan diatur di pejabat Malay Mail pada 30 Oktober 2018.

Ujarnya, dia diminta membandingkan dan mengesahkan kenyataan media itu daripada Muhammad Farhan dan versi kenyataan ditunjukkan oleh SPRM.

“Selepas membuat perbandingan terhadap kedua-dua kenyataan itu, saya dapati kandungan kenyataan media ini adalah adalah sama,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Perbicaraan bersambung lagi 4 Jun ini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). — Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu