ALOR SETAR — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.
Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.
Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, turut menziarahi jenazah Allahyarham di HSB malam ini, sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Salahuddin.