Nation
64

Saman fitnah Ismail Sabri terhadap Anina selesai

Kuala Lumpur – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anina Saadudin telah merekodkan persetujuan penyelesaian berhubung saman fitnah yang dikemukakan terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Pada 5 Mac lepas, Ismail Sabri menyaman Anina, 46, atas dakwaan memfitnah beliau di laman Facebook serta menuduhnya sebagai tidak kompeten dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan Menteri Pertahanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peguam Ragunath Kesavan, yang mewakili Ismail Sabri, kini Perdana Menteri, berkata kedua-dua pihak bersetuju memasukkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma perintah injunksi yang dikeluarkan sebelum ini.

“Penghakiman persetujuan itu dimasukkan petang ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril. Tiada perintah berkaitan kos atau kerugian,” katanya sambil menambah keputusan hari ini adalah terjumlah kepada penyelesaian penuh bagi tindakan perundangan yang telah diambil sebelum ini.

Pada 11 Mac lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara untuk memaksa Anina memadamkan semua kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau daripada laman Facebooknya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 1 Okt sebagai tarikh perbicaraan kes saman itu.

Ismail Sabri, 61, atas kapasiti peribadi, memfailkan saman itu atas dakwaan Anina telah menyiarkan 13 kenyataan berbaur fitnah dan memuat naik sebuah video di laman Facebooknya, yang antara lain mendakwa beliau tidak kompeten dalam melaksanakan tugasnya semasa mengenakan peraturan ketat bagi mengekang penularan COVID-19 melalui PKP.

Ismail Sabri mendakwa susulan kenyataan berbaur fitnah itu, reputasinya telah tercemar manakala tindakan memuat naik hantaran tersebut dilakukan dengan niat jahat bagi menjejaskan reputasi baik serta imej beliau.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu