Nation
175
0

Saman fitnah: Prosiding taksiran ganti rugi Guan Eng didengar 14 April

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi menetapkan 14 April ini untuk mendengar prosiding taksiran ganti rugi yang akan diperoleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin.

Saman itu difailkan Guan Eng berhubung penerbitan artikel membabitkan dakwaan rasuah terhadapnya dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng ketika dihubungi pemberita berkata prosiding taksiran ganti rugi di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail itu sepatutnya didengar hari ini, namun pihaknya dimaklumkan bahawa prosiding dilapangkan dan tarikh pendengaran baharu ditetapkan pada 14 April.

Pada 28 Februari tahun lalu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September 2019 berhubung satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra antara 24 Februari dan 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur berkenaan.

Guan Eng menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang blogger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Guan Eng melalui tiga akhbar pada 10 Februari tahun lalu.

Sebelum itu, Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog itu yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu