Nation
217

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 penuh patriotisme dalam semangat keluarga Malaysia

Putrajaya – Disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19 buat tahun kedua, sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia.

Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik, klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19.

Atur cara bermula pukul 8 pagi dalam cuaca baik dengan matahari yang menyinar setelah hujan dinihari berhenti di Putrajaya kira-kira 7 pagi, dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.

Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.

Ia diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu