Social
1K

Sami ditahan, video ritual tolak bala tular

Bagan Datuk – Seorang sami ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap video tular ritual keagamaan hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil di Selekoh, Rungkup di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan ritual yang dilakukan sami terhadap keluarga adiknya itu.

Menurutnya, upacara tolak bala melibatkan pasangan suami isteri berusia 54 dan 48 tahun serta empat anak mereka berusia 15 hingga 25 tahun serta sami berusia 39 tahun yang juga anak angkat keluarga itu.

“Semasa upacara tersebut, sami telah membaca mentera dan menggunakan rotan panjang memukul beberapa kali pada badan mangsa, isterinya dan anak lelaki sulung.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian bahu, tangan kanan serta bengkak di belakang kepala manakala, isterinya mengalami kesakitan pada kedua-dua bahagian tangan dan anak lelaki sulungnya alami kesakitan pada bahagian lengan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ahmad Adnan memberitahu, sami berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dan merampas sebatang rotan berikat dengan kain merah.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau malah, ujian saringan awal air kencing didapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.

“Polis akan menyiasat segala aspek sama ada ritual berkenaan dijalankan dengan niat dengan sengaja untuk mencederakan keluarga itu.

“Pada masa sama, keluarga tersebut memaklumkan bahawa upacara berkenaan dilakukan dengan rela hati dan laporan polis dibuat bagi mengelakkan salah faham orang ramai dengan ritual itu,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kesemua saksi terlibat telah dipanggil selain akan mengesan perakam video tersebut.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu