Kuala Lumpur Post

Social

Samirah, 2 remaja kekal bebas tuduhan bunuh CEO Cradle Fund

PUTRAJAYA – Samirah Muzaffar dan dua remaja kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan lepas dan bebas mereka sebelum ini.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie dan kami mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu,” ujar Hakim Vazeer Alam.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azhahari Kamal.

Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.